Wednesday, 30 September 2015

Sebiru Warna Langit ( Bahagian 5)



Bahagian 5




Aku tersenyum sendiri melihat kertas ujian milik Ammar, 67 markah. Peningkatan yang amat drastik dari hanya 18 markah untuk ujian bulan lepas. Nampaknya dia benar-benar belajar bersungguh-sungguh sepanjang bulan ni. Aku meletakan semula kertas ujian milik Ammar itu. Aku melepaskan keluhan berat. Sudah seminggu berlalu dan tindakan Ammar menjauhkan diri dari aku memang sedikit sebanyak telah meredakan sedikit khabar angin yang bertiup kencang dulu. Tapi, aku sebenarnya terganggu. Kehadiran Ammar dulu sememangnya menyenangkanku. Aku berasa gembira bila bersama dia. Aku sebenarnya sudah jatuh sayang padanya. Sayang sebagai seorang adik. Ammar sebenarnya telah mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh arwah Aeril. Tapi kini, semuanya seakan kembali kepada sedia kala, tempat kosong itu akan kosong semula.

“Cikgu Kamal.” panggil seorang guru. Aku menoleh ke arah guru itu.

“Ya.”

“Tuan Pengetua minta cikgu datang ke pejabatnya sekarang.” ujar guru itu.

“Ha, yalah.” ujarku ringkas. Apa lagi yang Tuan Rahman nak ni. Aku lantas mengatur langkah ke pejabat pengetua. Perlahan aku mengetuk pintu pejabat Tuan Rahman tiga kali.

“Masuk!” arah Tuan Rahman dari dalam. Sempat aku menarik nafas panjang sebelum memulas tombol pintu bilik Tuan Rahman itu.

“Assalamualaikum.” aku memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Jawab semua orang yang ada di dalam bilik pengetua itu. Aku sedikit kaget. Ramai rupanya orang yang didalam bilik itu. Aku memandang wajah mereka seorang demi seorang, Cikgu Hanis, dua orang budak nakal yang selalu menimbulkan masalah di sekolah ni, Azmir dan Haris dan, Ammar? Aku sedikit pelik, kenapa mereka semua ada disini, dan yang paling aneh, kenapa Ammar ada disini, apa yang dah berlaku?

“Cikgu Kamal, mari sini.” Panggil Tuan Rahman.

“ke…kenapa ni Tuan?” soalku.

“Cikgu, tadi saya nampak yang Azmir dan Haris sedang memukul Ammar, di belakang dewan besar.” ujar Cikgu Hanis. Aku lantas memandang Ammar. Terdapat kesan lebam pada wajahnya. Aku cemas lantas aku menghampiri Ammar.

“Kamu tak apa-apa Ammar?” soalku sambil meneliti kesan lebam diwajahnya. Tapi aku sedikit hairan, kalau in hanya kes pukul biasa, kenapa aku turut dipanggil?

“Bukan hanya itu sebab saya panggil cikgu kesini.” ujar Tuan Rahman pula. Aku mengerutkan dahi.

“Maksud tuan?” soalku pula.

“Azmir!, Haris! cepat cerita segalanya pada Cikgu Kamal dan minta maaf!”arah Tuan Rahman. Pandanganku teralih pula pada Azmir dan Haris.

“Cepatlah, tunggu apa lagi?!” arah Cikgu Hanis pula tegas.



“Cikgu, kami minta maaf cikgu, kami yang sebarkan cerita tentang…tentang cikgu dan Ammar.” ujar Haris dengan suara tersekat-sekat. Aku tersentak. Biar benar, mereka ni punca segala masalah ni!

“Be..betul cikgu, kami minta maaf, kami janji tak buat lagi.” tambah Azmir pula.

“Kenapa kamu buat semua ni?” soalku pula. Mereka berdua bungkam.

“Saya tak kisah kalau kamu benci pada saya, walaupaun saya rasa, saya tak pernah ada masalah dengan kamu, tapi jangan libatkan orang lain, jangan libatkan Ammar.” ujarku lagi. Mereka berdua masih bungkam.

“jadi macam mana cikgu? apa cikgu nak saya buat pada mereka berdua ni?” soal Tuan Rahman. Aku mengalih pandanganku pada Tuan Rahman pula.

“Macam mana Tuan tahu mengenai benda ni?” soalku pula.

“Saya yang adukan pada Tuan Rahman.” ujar Cikgu Hanis. Pandanganku teralih pula pada cikgu Hanis.

“Tadi saya ternampak mereka berdua ni membawa Ammar ke belakang dewan, jadi saya ikut mereka secara senyap. Mereka memukul Ammar, dan pada masa tu juga mereka telah mengaku perbuatan mereka memfitnah cikgu dan Ammar.” terang Cikgu Hanis. Aku mengarah pandanganku sekali lagi ke arah Azmir dan Haris yang tertunduk sejak tadi.

“Terpulanglah Tuan nak hukum mereka macam mana, saya serahkan segalanya pada Tuan.” ujarku pula. Tuan Rahman mengangguk.

“Baiklah, kamu berdua akan saya gantung selama seminggu mulai esok!!” ujar Tuan Rahman tegas.



Aku berjalan berdua balik ke bilik guru bersama Cikgu Hanis.

“Terima kasih ya Cikgu.” ujarku.

“eh, kenapa nak berterima kasih pulak ?”

“yelah, cikgu dah tolong bersihkan nama saya dan Ammar.” ujarku.

“Tak perlu berterima kasihlah Cikgu, ini juga sebahagian dari tugas dan tanggungjawab saya sebagai salah seorang ahli jawatankuasa Lembaga Disiplin sekolah ni. Lagipun, budak Azmir dan Haris tu memang dah melampau. Memang dah tiba masanya mereka tu menerima hukuman. Itupun nasib baik saya ternampak. Kalau tak, kes ni memang tak selesai lagi.” terang Cikgu Hanis. Aku tersenyum pada Cikgu Hanis.

“Cikgu, kalau saya tanya sikit, cikgu jangan marah tau.” ujar Cikgu Hanis perlahan.

“Apa dia cikgu?”

“Cikgu nampak ambil berat betul pasal Ammar tu kan. Sebenarnya, apa hubungan cikgu dengan dia?” soal Cikgu Hanis sedikit takut-takut. Aku tergelak kecil dengan soalan Cikgu Hani situ.

“Cikgu pun fikir saya macam tu ke?” soalku kembali.

“eh, taklah, bukan macam tu, saya…”

“dulu saya ada seorang adik lelaki, perangai dia lebih kurang sama dengan Ammar tu. Tapi, dua tahun lepas dia terlibat dalam satu kemalangan, dan meninggal dunia. Ammar tu dah banyak buat saya teringat pada arwah adik saya tu. Senang cerita sebenarnya, saya dah anggap Ammar tu macam adik saya sendiri, dan saya sayangkan dia, macam adik kandung saya sendiri.” terangku panjang lebar. Aku kemudian melepaskan satu keluhan berat.

“Kenapa cikgu? saya tersinggung perasaan cikgu ke?” soal Cikgu Hanis sedikit risau.

“Tak lah, sebenarnya, sejak kes ni mula timbul minggu lepas, Amamr dah jauhkan diri dari saya, dulu boleh kata hampir setiap malam dia akan datang rumah saya untuk betanya itu ini tentang pelajaran, tapi sekarang, nak tegok batang hidung dia pun susah.” luahku.

“Jadi cikgu rindu pada dia?” soal Cikgu Hanis pula.

“memang saya rindu, tapi sebenarnya, saya rasa bersalah pada dia. Dia sebenarnya buat macam tu demi saya. Dia tak nak saya terganggu dengan fitnah tu. Tulah sebab dia jauhkan diri dari saya.” cerita ku.

“Ammar tu memang baikkan cikgu, hati dia sungguh mulia.” ujar Cikgu Hanis lembut. Aku memandang Cikgu Hanis sambil tersenyum. Benar katanya, Ammar memang mempunyai hati yang sungguh mulia.



Tuk..tuk..tuk…pintu kelas 3B diketuk, aku yang sedang menulis nota di papan putih melihat ke arah pintu. Cikgu Hanis ! aku tersenyum ke arahnya.

“Cikgu, boleh saya berjumpa dengan Ammar sekejap?” soal Cikgu Hanis. Aku mengerutkan dahi. Kenapa?

“Ammar!” panggilku. Ammar lantas berdiri dan bergerak ke arah pintu mendapatkan Cikgu Hanis. Cikgu Hanis membawa Ammar sedikit jauh dari pintu.

“Baiklah yang lain, sambung salin nota ni.” arahku pada pelajar-pelajar lain dalam kelas. Dalam pada itu, mataku tak lari dari melihat Ammar dan Cikgu Hanis. Jelas, riak wajah Ammar berubah sebelum mutiara-mutiara jernih mula jatuh dari matanya. Aku Hairan. Aku lantas berhenti menulis nota dan menghampiri Cikgu Hanis dan Ammar. Ammar lantas masuk semula ke dalam kelas dan mengemas barang-barangnya.

“Kenapa Cikgu?” soalku pada Cikgu Hanis.

“Tadi, pihak hospital telefon, nenek Ammar, dah meninggal pagi tadi.” ujar Cikgu Hanis tenang. Aku terkesima.

“Innalillahi Wainnalillahi rojiun.”ucapku.

“Cikgu nak ikut ke hospital ke?” soal Cikgu Hanis.

“ha, boleh juga.” balas ku. Aku lantas masuk semula ke dalam kelas.

“Kelas, Cikgu ada kecemasan sikit, jadi kelas kita sampai disini saja.” ujarku. Keadaan kelas mula sedikit hingar bingar. Masing-masing dalam keadaan ingin tahu. Aku lantas mengemas barang-barangku.

“Ammar.” panggilku. Ammar memandangku. Matanya sudah penuh dengan air mata.

“Saya Hantar.”ujarku. Ammar mengangguk perlahan.



Orang ramai sudahpun mula meninggalkan tanah perkuburan ini, bacaan talkin baru sahaja selesai. Hanya tinggal Ammar, aku, Mak Som dan suaminya Pak Hasan di tanah perkuburan ini. Aku menghampiri Pak Hasan dan Mak Som yang berdiri tidak jauh dari pusara nenek Ammar. Ammar duduk berteleku di sebelah pusara neneknya itu.

“Kasihan budak tu, tinggal sebatang kara.” ujar Pak Hasan lembut. Aku mengangguk bersetuju. Mak Som mengesat air matanya.

“Dengan siapa dia nak tinggal lepas ni?” soal Mak Som pula. Pak Hasan melepaskan keluhan berat.

“Tak apalah, Pak Hasan dan Mak Som baliklah dulu, biar saya temankan Ammar kat sini. Nanti saya bawa dia balik.” ujarku lembut.

“betul ke ni? tak susahkan cikgu ke?” soal Pak Hasan pula.

“tak susah pun, Pak Hasan dan Mak Som baliklah dulu ya.”

“kalau dah Cikgu cakap macam tu, yelah, kami balik dulu, banyak benda nak siapkan untuk tahlil malam ni.” ujar Pak Hasan lagi. Aku mengangguk.

“Kami balik dulu ya cikgu.” ujar Mak Som pula, aku tersenyum sambil melihat mereka mula meninggalkan tanah perkuburan ini. Pandanganku kualih pula pada Ammar. Perlahan aku menghampirinya. Aku berdiri dibelakangnya.

“Cikgu..”panggil Ammar. Aku lantas duduk disebelahnya. Aku mengusap belakangnya perlahan.

“Cikgu….nenek…..nenek…dah pergi…” ujar Ammar dalam esak tangis. Aku jadi sebak melihatnya. Aku tahu betapa sayangnya dia pada neneknya ini.

“Nenek dah pergi….nenek dah tinggalkan saya…nenek tinggalkan saya seorang-seorang…”ujar Ammar lagi. Airmatanya makin galak mengalir.

“saya dah tak ada sesiapa cikgu…..nenek dah tinggalkan saya.”ujar Ammar lagi. Air mataku mula mengalir. Aku lantas menarik bahu Ammar menghampiriku. Tubuh kecil Ammarku peluk erat.

“Saya ada disini, kamu bukan seorang-seorang, saya ada…” aku cuba memujuknya. Ammar diam. Namun air matanya masih terus mengalir. Riak wajah cerianya hilang entah kemana, senyuman manis dibibirnya juga tak kelihatan lagi. Ammar menangis semahunya dalam dakapanku. Seakan dia melepaskan segala kesedihan yang dipendam dalam hatinya. Aku mengusap lembut belakang Ammar. Masyaallah, ya Allah, tabahkanlah hati anak ini ya Allah. Lantas aku teringat permintaan arwah nenek Ammar ketika ku melawatnya di hospital tempoh hari.

“Cikgu, mak cik tahu permintaan mak cik ni menyusahkan cikgu, tapi mak cik rasa cikgulah orang terbaik untuk jaga Ammar tu nanti, cikgu, mak cik minta tolong, kalau terjadi sesuatu pada mak cik, tolong jaga Ammar ya. Dia dah tak ada sesiapa lagi. Tolong ya cikgu..”

Kata-kata itu terngiang-ngiang dalam fikiranku, aku tersenyum sendiri.


‘ Mak Cik, saya berjanji saya akan jaga Ammar macam darah daging saya sendiri.’ ucapku didalam hati.



Bersambung....



p/s: minggu depan aku ad interview lagi....korang doakan aku ye...penat dah pergi interview ni...dapat kerjenya tidak juga...hmmmm....





Saturday, 19 September 2015

Sebiru Warna Langit (Bahagian 4)



Bahagian 4




Aku bergegas masuk ke wad. Tadi sebaik aku sampai ke rumah, jiranku, Mak Som memberitahu yanag nenek Ammar sudah sedarkan diri. Mataku melilau mencari kelibat Ammar dan neneknya. Seketika kemudian aku tersenyum. Mereka telahku temui. Perlahan aku mengampiri mereka.

“Assalamuaikum.” ucapku. Ammar dan neneknya menoleh serentak ke arahku. Aku melemparkan senyuman.

“Cikgu!” Ammar lantas menyalamiku sebelum menarikku menghampiri katil neneknya.

“Nenek, inilah Cikgu Kamal.” ujar Ammar ceria. Aku sedikit terkesima. Inilah kali pertama aku melihat Ammar seceria itu. Nenek Ammar tersenyum padaku.

“Mak Cik apa khabar?” soalku mesra.

“Baik, Alhamdulillah. Jadi inlah dia jiran baru mak cik tu ya.” ujarnya. Aku tersenyum.

“Ammar, kamu belum solat lagi kan? pergi solat dulu ya.” ujar Nenek Ammar perlahan.

“alah, kejap lagi la nek, banyak benda Ammar nak cerita kat nenek ni!!”

“Ammar, pergi solat dulu, nanti cerita lagi ya, nenek tak kemana pun, nenek kat sini je.” pujuk nenek Ammar. Aku tersenyum. Jelas terpancar kasih sayang antara mereka.

“Yalah, yalah.”Ammar akur.

“Cikgu duduk sini dulu ya, jangan balik dulu tau!” ujar Ammar lagi sebelum pergi. Aku melihat Ammar pergi hinggalah dia hilang dibalik pintu wad.

“Cikgu, duduk dulu cikgu.” jemput nenek Ammar. Aku tersenyum dan duduk di bangku di tepi katil.

“Seronok betul Ammar tu.” ujarku. Nenek Ammar tersenyum.

“Ammar tulah satu-satunya cucu yang mak cik ada. Nenek masih boleh duduk bersembang macam ni pun sebab si Ammar tulah. Doktor cakap, daripada keadaan mak cik masa mak cik mula-mula masuk dulu, mak cik dah macam tak ada harapan. Tapi tulah, semangat mak cik kuat. Ammar tulah semangat mak cik. Mak cik tak sampai hati nak tinggal dia seorang-seorang. Dia kecil lagi.” cerita Nenek Ammar.

“Maaf mak cik saya tanya, ibu bapa Ammar tu dimana?” soalku. Nenek Ammar tersenyum.

“ayah dia dah meninggal, masa dia kecil lagi.”

“ibu dia?” soalku lagi. Raut wajah nenek Ammar berubah.

“maaf mak cik kalau saya tersinggung perasaan mak cik.” nenek Ammar tersenyum.

“Keluarga ibu si Ammar tu dulu kaya, tapi dah jodoh, dia suka pada anak Mak cik, ayah Ammar. Seperti yang cikgu nampak, kami ni orang susah, keluarga ibu Ammar ni tak restu hubungan itu. Macam-macam halangan diterima oleh mereka. Tapi bila dah jodoh, akhirnya mereka berkahwin juga, keluarga ibu Ammar tu membuang dia. Tak lama selepas tu, dia mengandungkan si Ammar tu. Tapi dia memang lebih sayangkan suami dia dari anak dia tu. Sampai hari dia nak bersalin, ayah si Ammar tu bergegas ke hospital dari Johor sebab dia dah janji nak temankan ibu Ammar di dewan bersalin. Tapi, fitrah kita manusia tak dapat menentang qada’ dan qadar Allah, ayah Ammar tu terlibat dalam kemalangan. Dia meninggal di tempat kejadian.” air mata nenek Ammar mula melinang.

“Cikgu sendiri tahukan, emosi orang baru bersalin ni tak stabil. Dia meroyan bila dia dapat tahu pasal kematian ayah Ammar tu. Dia jadi tertekan. Dia salahkan Ammar sebabkan kematian suami dia. Mak Cik dah cuba serahkan Ammar pada dia, tapi dia tak boleh terima. Dia akan mula meracau-racau setiap kali melihat Ammar. Keluarga ibu Ammar datang pada Mak cik, dia cakap, dia mahu bawa ibu Ammar tu kembali ke Pahang. Mak Cik bersetuju, tapi kerana ibunya masih tak boleh terima Ammar, mak cik buat keputusan untuk menjaga Ammar. Sehingga sekarang, mak cik langsung tak terima sebarang khabar dari mereka.” cerita Nenek Ammar lagi.

“habis tu, Ammar tak pernah tanya ke pasal ibunya?” soalku lagi.

“dulu masa dia kecik pernah dia tanya. Tapi Mak cik marah dia. Mak cik tak tahu macam mana nak terangkan pada dia. Sejak dari tu sampai sekarang dia tak pernah tanya lagi. Mak Cik tak sampai hati nak cerita perkara sebenar. Cikgu boleh bayangkan kan, bagaimana rasa kalau ibu kandung kita sendiri tak boleh terima kita. Mak cik tak sampai hati nak biar dia rasa perasaan tu.” cerita Nenek Ammar lagi. Benar kata nenek Ammar tu.

“tapi, Ammar tu masih betuah sebab dia masih ada mak cik yang sayangkan dia.”ujarku pula. Nenek Ammar tersenyum.

“Tapi sampai bila cikgu?, mak cik ni dah tua. Bila-bila masa sahaja Allah tu boleh tarik balik nyawa mak cik ni. Tengokla ni ha, mak cik terlantar kat hospital macam ni. Mak cik sebenarnya risau dengan Ammar tu, bila mak cik dah tak ada nanti, macam mana la nasib dia.”

“Mak cik jangan risau, Ammar tu tahu bawa diri.” ujarku cuba menenangkannya.

“Cikgu, Ammar tu dah tak ada sesiapa. Kalau mak cik dah tak ada nanti, memang dia tinggal seorang-seorang.” ujar nenek Ammar sebelum dia terhenti seketika.

“Sejak dia datang tadi, macam-macam dia cerita mengenai cikgu. Nampaknya dia betul-betul senang dengan cikgu. Sejak dari sekolah rendah lagi, Ammar tu dibuli, diejek dengan kawan-kawan dia. Sebab tu dia memang susah nak rapat dengan orang walaupun dia nampak peramah. Dia tu banyak memendam rasa cikgu. Mak cik tahu apa yang jadi kat dia di sekolah, dia dibuli, dipukul, diejek, tapi dia tak pernah mengadu pada mak cik. Semua dia pendam sendiri. Dia selalu tersenyum, nampak macam gembira, tapi dalam hati dia, dia menangis cikgu! mak cik tahu semua tu. Bila mak cik tanya, mesti dia berdalih. Tapi mak cik tahu, sebenarnya dia tak mahu buat mak cik susah hati. Dia tak nak buat mak cik sedih.” cerita nenek Ammar lagi dengan linangan air mata.

“Sabar Mak cik.”

“Ammar tu budak baik cikgu, mak cik sayang sangat pada dia.”

“Saya tahu Mak cik.”

“Cikgu, mak cik tahu permintaan mak cik ni menyusahkan cikgu, tapi mak cik rasa cikgulah orang terbaik untuk jaga Ammar tu nanti, cikgu, mak cik minta tolong, kalau terjadi sesuatu pada mak cik, tolong jaga Ammar ya. Dia dah tak ada sesiapa lagi. Tolong ya cikgu..” Nenek Ammar separuh merayu.

“Mak cik, mak cik kan dah sihat ni, bila-bila masa je mak cik dah boleh keluar dari hospital ni.” ujar ku. Jelas terpancar riak wajah kecewa pada wajah nenek Ammar.

“Mak cik, bukan saya tak nak jaga dia, Saya sendiri dah anggap Ammar tu macam adik kandung saya sendiri, tapi Mak cik dah sihat. Saya yakin tak akan ada apa-apa yang berlaku pada mak cik, mak cik akan keluar tak lama lagi.” aku cuba meyakinkan nenek Ammar yang bukan aku tak mahu menunaikan permintaannya itu. Nenek Ammar tersenyum hambar padaku.




“Ammar, nanti sekejap.” panggilku sebelum sempat Ammar masuk ke dalam rumahnya. Ammar memandangku.

“Ammar, kenapa sejak belakangan ni kamu asyik nak mengelak dari saya?!” soalku berterus terang.

“mengelak? mana ada cikgu. Saya biasa-biasa je.” ujarnya selamba.

“ni mesti sebab khabar angin yang tengah tersebar di sekolah tu kan?” dugaku.

“khabar angin apa cikgu?” Ammar cuba berdalih.

“Ammar, sudahlah tu. Jangan berdalih lagi. Saya tahu, kamu tak nak dekat dengan cikgu lagi sebab khabar angin tukan? kamu takut dengan saya kan? Ammar, saya bukan macam tu, saya tak akan buat…”

“Cikgu!, apa cikgu ni? saya tahu cikgu, cikgu memang tak akan buat macam tu, saya tahu.” pintas Ammar dengan suara sedikit keras. Aku terkesima. Ammar tidak pernah begitu sebelum ni.

“Saya masuk dulu.” ujar Ammar dengan suara sedikit bergetar. Namun belum sempat Ammar meloloskan diri dibalik pintu, aku lantas menarik lengannya menghalangnya daripada masuk.

“Tolong Ammar, tolong jangan buat macam ni. Dulu kamu yang cakap telinga kamu dah lali dengan ejekan, hinaan yang macam ni. Tapi sekarang..”

“Saya buat macam ni demi cikgu. Saya memang dah lali dengan semua ni, tapi cikgu? boleh ke cikgu tahan dengan semua ni?” Ammar memintas kata-kataku lagi. Sekali lagi aku tersentak.

“Ammar..”

“Cikgu, saya tak nak kerana saya, cikgu dapat susah. Jadi saya rasa lebih baik cikgu jangan dekat sangat dengan saya. Cukuplah hubungan kita sebagai guru dan anak murid.” ujar Ammar lagi. Aku terkesima. Ammar kelihatan betul-betul serius. Senyumannya yang selalu menghiasi wajahnya kini tiada.

“Sa…saya masuk dulu.” Ammar meminta diri dan terus hilang disebalik pintu rumahnya. Aku terkedu. Jujur aku katakan, memang aku sedikit terganggu dengan khabar angin yang datang entah dari mana itu. Tapi aku tidak pernah menyalahkan Ammar, dia juga mangsa. Sungguh aku tak sangka ianya akan pergi sejauh ni. Lantas aku teringat pertemuanku dengan Tuan Rahman semalam.




“Saya rasa, cikgu lebih baik menjarakkan sikit diri cikgu dari Ammar.” kata Tuan Rahman.

“Tapi Tuan, saya memang tak ada sebarang hubungan yang macam tu dengan Ammar. Dia tu pelajar saya Tuan, dan dia tu lelaki, saya masih ada iman Tuan, saya tak akan buat benda-benda yang macam tu.” aku cuba menerangkan duduk perkara yang sebenar sekali lagi walau sudah aku perjelaskan segalanya tadi.

“Saya tahu cikgu, cuma benda ni perlu diredakan, saya tak mahu khabar angin ni terus tersebar dengan keakraban cikgu dan Ammar, saya tak mahu sekolah saya ni jadi huru hara sepertimana yang pernah berlaku dulu. Saya harap cikgu faham. Hanya ini sahaja jalan yang saya nampak.” ujar Tuan Rahman pula. Aku terdiam seribu bahasa.





Bersambung.....






p/s: Selamat hari raya Aidil Adha.....
p/s: tetiba rasa cam nak berniaga lah....eh!...



Sunday, 13 September 2015

Sebiru Warna Langit (Bahagian 3)




Bahagian 3




Aku kembali menoleh ke arah kelas selepas usai menulis beberapa soalan di papan putih. Aku terpandang Ammar yang sedang terlena. Aku menggelangkan kepala. Penat sangat lah tu, aku tahu dia tidur lewat malam tadi. Perlahan aku menuju ke mejanya. Belum sempat aku mengejutkan dia, aku ternampak sebuah lukisan yang dia lukis disebuah buku. Perlahan aku mengambil buku latihan itu. Lakaran potret neneknya. Aku tersenyum melihat lukisan itu. Tanpa sebarang panduan gambar, Ammar mampu melukis wajah neneknya dengan tepat hanya berpandukan ingatan dan memorinya. Aku menyelak helaian demi helaian pada buku itu. Hampir kesemunya lakaran potret neneknya. Jelas neneknya itu amat bernilai buat dirinya.

“Cikgu!” panggil seorang pelajar. Aku menoleh memandang pelajar yang memanggilku tadi.

“Cikgu, sini kejap, saya tak faham soalan ni.” ujarnya lagi.

“kejap.” balas ku. Aku meletakan semula buku latihan milik Ammar itu.

“Ammar, bangun!, jangan tidur dalam kelas.” sempat aku mengejutkan Ammar sebelum aku bergerak ke meja pelajar yang memanggilku tadi. Selesai memberikan penjelasan pada pelajar itu, aku kembali memandang Ammar. Terkulat-kulat dia menyalin soalan-soalan di papan putih. Aku tahu dia mengantuk. Dia bersungguh-sungguh belajar malam tadi sehingga lewat tidur.

“Kalau ada apa-apa yang tak faham boleh tanya saya.” ujarku pada kelas.

“Cikgu!” panggil seorang lagi pelajar. Aku bergerak kemejanya dan menerangkan apa yang dia tak faham.




Aku berjalan ke kereta aku untuk pulang ke rumah selepas sesi persekolahan pada hari ini tamat. Aku mematikan alarm keretaku sebelum membuka pintunya. Aku meletakan barang-barangku di tempat duduk belakang sebelum masuk semula di temat pemandu. Enjin keretaku ku hidupkan. Pintu kereta aku tutup semula dan mula bergerak meninggalkan perkarangan sekolah. Belum pun beberapa meter aku meninggalkan kawasan sekolah mataku tertancap pada seorang remaja yang terduduk di bahu jalan di luar pagar sekolah. Ammar!! tanpa berlengah, aku memberhentikan keretaku di bahu jalan dan lantas meluru keluar mendapatkan Ammar. Aku kaget melihat keadaan Ammar. Mukanya luka-luka, badannya lebam-lebam, bajunya koyak.

“Masyaallah, Ammar!!” ujarku lagi. Ammar menoleh kearahku sambil cuba berdiri.

“Ammar, apa dah jadi kat kamu ni?!” soalku sambil memapah Ammar.

“Saya terjatuh cikgu.” ujarnya sambil cuba tersenyum.

“sudahlah Ammar, kamu jangan nak tipu lagi. Saya tahu kamu kena pukul kan?” dugaku.

“tak adalah Cikgu, betul, saya terjatuh tadi.”ujarnya lagi.

“ini mesti kerja Azmir dengan Haris tu kan?” dugaku lagi.

“cikgu, kan saya dah cakap tadi, saya terjatuh.” dalih Ammar lagi.

“Saya tak percaya, takkanlah sebab kamu terjatuh, keadaan kamu boleh jadi macam ni.”

“Betul cikgu, kaki saya tersadung tadi.” Ammar berdalih lagi.

“baik, saya akan cari Azmir dan Haris sekarang dan saya tanya mereka sendiri!!” ujarku tegas sambil terus bergerak kembali ke arah sekolah. Belum sempat aku membuka langkah. Ammar menarik tanganku.

“jangan cikgu!!” ujar Ammar. Aku terkesima seketika.Pertama kali aku nampak riak wajahnya yang sebegitu risau.

“tolong cikgu, jangan!” ujarnya lagi separuh merayu. Aku menoleh ke arahnya. Aku memandangnya seketika sebelum aku menarik nafas panjang.

“Baiklah, saya tak akan cari mereka, tapi saya nak minta tolong pada kamu, tolong cerita apa dah jadi pada kamu.”ujarku lagi. Ammar tertunduk sebelum mengangguk akur.



Perlahan aku menyapu ubat luka pada luka di lengan Ammar. Ammar, hanya diam dari tadi. Tak seperti selalu, dia ceria.

“sejak dulu lagi, semua orang cakap pada saya, ‘kesian budak ni.’” Ammar mula bersuara, aku hanya mendengar.

“ tapi saya tak pernah pun rasa saya ni patut dikasihani. Saya memang dah tak ada ayah, ibu pulak, entahlah, saya pun tak tahu saya ada ibu atau tidak. Tapi sekurang-kurangnya, saya masih ada nenek yang sayangkan saya. Saya masih boleh tinggal dengan nenek kat rumah ni. Saya rasa saya dah cukup bertuah. Sejak saya kecil, nenek bersusah payah berbanting tulang nak menyara saya. Kalau nak dibandingkan apa yang nenek dah buat untuk saya selama ni, apa yang jadi kat saya ni, kecil je.” ujar Ammar lagi.

“Jadi memang betul, Azmir dan Haris yang pukul kamu?” soalku pula.

“nenek dah pesan kat saya jangan bergaduh, jangan buat musuh. Biar orang buat benda jahat kat kita pun, jangan kita buat benda jahat kat orang. Nenek pesan lagi, biar hidup kita susah, tapi jangan hidup susahkan orang. Nenek kata orang sabar, Allah sayang. Biarkan orang nak kata apa pun, tuhan tahu apa yang sebenarnya berlaku.”

“Ammar.” ujarku perlahan. Aku meletakan semula ubat luka ke dalam peti pertolongan cemas. semua luka-lukanya sudah selesai diubati. Ammar masih tertunduk lesu.

“Kenapa kamu tak nak berterus-terang je apa yang berlaku? kenapa kamu nak lindungi orang yang pukul kamu sampai jadi macam ni?” soalku lagi.

“Saya bukan lindungi. Saya cuma tak nak mereka dapat masalah sebab saya. Seperti yang saya cakap tadi, nenek dah pesan, hidup biar susah, tapi jangan susuahkan orang.” ujar Ammar lagi.

“Ammar.”

“Cikgu, terima kasih sebab tolong saya, saya nak balik dulu.” ujar Ammar langsung terus meninggalkan rumahku ini dan pulang kerumahnya. Aku menggelangkan kepala. Baik sungguh budak ni. Ya, Allah, lindungilah dia ya Allah. Buat sekian kalinya Ammar mengingatkan aku pada arwah Aeril. Merka memang ada banyak persamaan.





“Cikgu, maam mana nak buat soalan yang ini?” soal Ammar. Aku duduk disebelahnya dan meneliti soalan yang dimaksudkan. Hari ini hari Ahad, seperti biasa memang Ammar akan datang ke rumah ku diwaktu pagi untuk belajar denganku.

“untuk soalan yang ni, kamu kena dapatkan dulu sudut ABC, daripada sudut ABC tu, kamu boleh dapatkan sudut DEC, dan kamu perlu gunakan ‘cosine’ untuk dapatkan panjang DE.” terangku. Ammar mengangguk faham.

“Assalamualaikum!” kedengaran orang memberi salam. Aku dan AMmar memnadang ke arah pintu serentak.

“Waalaikumussalam.” jawab ku.

“dah, saya nak tengok siapa tu, kamu buat tu.” ujarku pada Amamr. Aku lantas bergerak ke pintu dan membukanya. Terlihat kelibat Zaid diluar.

“eh, kau Zaid, masuklah.” ujarku sambil bersalam dengannya.

“eh, Ammar pun ada.” ujar Zaid. Ammar hanya tersenyum padanya. AKu menutup kembali pintu dan mempelawa Zaid duduk.

“apehal kau datang ni?” soalku sambil duduk disebelah Zaid di sofa.

“ai, nak datang rumah kawan sendiri pun tak boleh ke?” soalnya pula.

“eh, tak lah macam tu, pelik sikit, tak pernah-pernah kau datang rumah aku sebelum ni.” balasku pula sebelum kami berdua ketawa kecil.

“Aku ingat nak ajak kau keluar, tengok wayang ke, bowling ke, jomlah, bosan ni.” ajak Zaid. Aku terdiam seketika memikir. Macam mana ya, aku tengah mengajar Ammar ni.

“tapi tu.” ujarku sambil menunjuk ke arah Ammar. Ammar kemudia lantas mengemas barang-barangnya dan terus mengahala keluar.

“eh…eh…kamu nak kemana ni?” soalku.

“la, cikgu nak keluar dengan abang Zaidkan, saya nak baliklah.” ujar Ammar. Aku memandang Zaid.

“tak apalah, kalau Ammar nak ikut sekali pun boleh.” Zaid mempelawa Ammar.

“Tak apalah bang, malslah, lagipun saya kena kerja petang ni. Saya balik dulu ya. Assalamualaikum.” ujar Ammar sebelum meminta diri. Tak sampai beberapa minit, dia telahpun hilang dari pandangan.

“So macam mana?” soal Zaid lagi. Aku tersenyum.

“Tunggu sekejap, aku tukar baju.” ujarku sebelum masuk ke bilik menukar baju. Beberapa minit kemudian aku keluar semula.

“Dah jom.” ujarku. Zaid bangun dan terus menuju ke pintu.

“Zaid, naik kereta kau jelah ek.” ujarku sambil tersengeh.

“Ha, yalah..” jawab Zaid. Aku tersenyum. Aku keluar dari rumah dan mengunci pintu. Sempat aku memandang ke arah rumah Ammar sebelum segera mendapatkan Zaid semula.




Aku berjalan perlahan kembali ke bilik guru. Sepanjang perjalanan aku berasa sedikit aneh. Aku terasa seakan semua orang memerhatikan aku, aku pakai baju terbalik ke? aku melihat diriku sendiri. Betul je baju aku. Mungkin cuma perasaan aku.Tapi bukan sekadar hari ni, sepanjang minggu ni aku rasa benda yang sama. Pelik!. Sebaik aku sampai ke aras tiga, aku memandang ke arah kelas 3B yang terletak di blok bersebelahan. Kelihatan Ammar yang duduk di sebelah tingkap sedang terlena. Aku menggelengkan kepala. Sudah seminggu Ammar seakan mengelakkan diri dari aku. Aku sendiri tak tahu kenapa. Mungkin dia tak mahu aku menyoalnya lagi mengenai kes pukul tempoh hari. Tapi bila dia terserempak dengan aku, dia masih mesra seperti dulu. Cuma dia tidak lagi datang kerumahku seperti selalu, dia tidak lagi menumpang aku untuk pulang ke rumah dan dia dah tak banyak bercakap denganku macam dulu. Kenapa? aku ada buat dia marah ke? Aku melangkah masuk ke bilik guru dan menuju ke tempatku. Sekali lagi perasaan pelik ni muncul. Kenapa semua orang buat pandangan aneh macam tu kat aku? aku cuba tidak mengendahkan semua tu dan terus ke tempatku. Aku meletakan buku-bukuku dan duduk.

“Hai Cikgu..” sapa cikgu Hanis lembut. Aku tersenyum.

“hai..” balas ku.

“Cikgu ok ke?, saya tengok lain macam je ni.” tegur Cikgu Hanis.

“Saya ok je.” balasku.

“ye ke ni? tu muka macam ada masalah je.”

“Cikgu, saya tak tahu ini hanya perasaan saya ke apa kan, tapi saya asyik terasa semua orang dok pandang saya semacam je sepanjang minggu ni.” ujarku. Cikgu Hanis tersenyum dengan soalanku itu. Aku jadi semakin hairan dan pelik.

“Cikgu, sebenarnya, itu bukan perasaan cikgu je, memang semua orang tengah tengok cikgu semacam je. Saya yang tengah bercakap dengan cikgu ni pun mungkin akan kena tempias juga nanti.” ujar Cikgu Hanis selamba. Aku kaget. Biar betul! Cikgu Hanis kemudiannya tergelak kecil dengan riaksiku.

“Cikgu, saya bergurau je. Tapi Betul ke cikgu tak tahu apa yang dah jadi sebenarnya? apa yang tengah heboh sekarang ni?” soal Cikgu Hanis. Aku mengerutkan dahi. Seketika kemudian aku menggelang. Memang aku tak tahu apa yang berlaku.

“Cikgu tahu tak, dah heboh satu sekolah ni khabar angin mengatakan cikgu ada hubungan dengan Ammar.”

“hubungan?”aku keliru. Cikgu Hanis kemudian menunjukan symbol hati dengan tangannya. Terbeliak mata aku.

“Apa?!!”ujarku sedikit kuat. Tindakan riflekku yang terus bangun membuatkan kerusiku tumbang. Suara ku ditambahkan dengan bunyi kerusi yang jatuh membuatkan semua orang yang berada didalam bilik guru itu memandang kearahku dan Cikgu Hanis. Cikgu Hanis lantas duduk dan buat seakan tak ada apa yang berlaku. Akupun duduk semula selepas kerusiku kutegakkan. Keadaan di dalam bilik guru itu kembali tenang selepas seketika.

“Cikgu Hanis, betul ke ni?” soalku sedikit cemas.

“Patutnya saya yang tanya pada cikgu, betul ke khabar angin tu?” soal Cikgu Hanis kembali.

“Masyaallah, takkan la saya nak buat benda terkutuk macam tu. Ammar tu pelajar saya, jiran saya dah kebetulan nenek dia terlantar kat hospital, salah ke saya ambil berat pasal dia?!” aku membela diri.

“Baguslah kalau macam tu cikgu, sebenarnya dulu dah ada kes macam ni kat sekolah ni. Tulah khabar angin ni boleh timbul.” balas Cikgu Hanis. Aku meraup wajahku. Ya Allah, apa dah jadi ni, ya, mungkin ini juga sebab kenapa Ammar menajuhkan diri dari aku.

“Cikgu Kamal.” panggil seorang guru.

“Ya, saya.” balasku sambil memandnagnya.

“Tuan pengetua nak jumpa.” ujarnya.

“Hah?! sekarang?” soalku pula.

“Ya, sekarang.” balas guru wanita itu.

“terima kasih ya.” ujarku. Guru wanita itu mengangguk sebelum pergi. Aku memandang Cikgu Hanis. Cikgu Hanis tersenyum padaku.

“Tuan Rahman tu ok. Awak terangkan sahaja apa yang sebenarnya. Dia boleh faham nanti. Itupu kalau dia tanya soal nilah.”ujar Cikgu Hanis cuba menenangkan aku. Aku membalas senyumannya.



“Baiklah, saya pergi dulu.” ujarku sebelum bangun bergerak menuju ke pejabat pengetua.




Bersambung.....



p/s : Hai korang....sorry..lama tak update. Banyak benda dah jadi kat aku sejak raya hari tu. Tak adalah serius mana pun...cuma apa yang jadi tu dah menjejaskan mood aku nak menulis. Jadi disebabkan cerita ni memang dah siap lama dah, so aku post jelah yang ni dulu. Tak adalah sunyi sangat blog aku ni..ye dak?...heheh....ok..bye...

p/s: korang doakanlah masalah-masalah aku ni boleh selesai ye...