Tuesday, 18 October 2016

My BFF My Love (Bahagian 1)





Bahagian 1



Aku berdiri tegak di hadapan pintu pagar rumah teres setingkat ini. Suasana sekeliling semakin dingin menjelang tengah malam. Aku melihat kosong ke arah rumah yang pernah menjadi tempat ku berteduh dan berlindung sejak aku berumur sehari. Seorang lelaki lewat 40-an dan seorang wanita yang sama baya berdiri di muka pintu. Yang lelaki berteriak memaki hamunku sambil membaling dan melontar barang-barangku keluar. Yang perempuan hanya menangis terisak-isak, namun tidak pula dia mahu menghalang perlakuan si lelaki. Aku hanya diam, berdiri tegak, tanpa perasaan. Suara si lelaki berteriak, memekik bak halilintar. Namun tak ada satu pun kata-kata amarahnya itu masuk ke mindaku. Hanya masuk telinga kiri dan keluar berterbangan dari telinga kanan. Aku hanyut dalam pemikiranku sendiri. Mindaku seakan terhenti berfikir sebaik aku dijerkah apabila mahu melangkah masuk ke rumah yang sudah hampir 20 tahun ku huni ini. Rumah ini kecil. Tidak besar. Cukuplah untuk keluargaku yang memang kecil. Namun, inilah rumahku. Tiada yang lain lagi. Namun kini aku tak tahu apa yang akan berlaku.

“Kau!! jangan balik lagi kerumah ni. Mulai hari ni, aku haramkan kau pijakkan kaki kau kat rumah ni lagi. Pergi!!” teriak lelaki itu lagi. Yang perempuan masih berlinangan air mata. Aku masih diam. Tiada tindak balas. Dalam mindaku kini hanya satu persoalan yang berputar-putar.

‘Kenapa boleh jadi begini?’

Petang tadi, ketika aku keluar rumah, semua masih biasa-biasa. Yang lelaki hanya duduk menonton TV dan yang perempuan sibuk mengemas di dapur. Sempat yang perempuan berpesan jangan pulang lewat sebelum aku keluar. Patutlah sejak sebelum aku keluar tadi aku rasa tidak sedap hati. Rasa berat hati. Rupanya, hari ini adalah hari terakhir untuk aku melihat rumah ini.

“Sudah tu Imah, tak payah awak nak menangis beriya bagai sebab anak tak tahu diuntung ni. Sudah masuk.” ujar yang lelaki sambil dia mengunci pintu pagar yang kini tertutup rapat.

“Anak kita bang…” ujar yang perempuan dalam esak tangis.

“Dia bukan anak kita!!!” tengking yang lelaki. “Aku bersumpah aku tak ada anak yang macam dia!! Sudah..masuk!!” jerkah si lelaki lagi sebelum menarik tangan yang perempuan masuk ke dalam rumah. Pintu rumah ditutup rapat lalu dikunci. Pedih hatiku rasakan. Hanya dalam beberapa saat, aku kini bergelar anak derhaka. Berat sungguh kesalahan aku itu pada mereka. Beratkah?

Dah tentulah dosaku itu amat berat.  Anak harapan keluarga. Anak lelaki tunggal dalam keluarga. Anak yang diharap dapat menyambung waris keturunan seorang guru agama bergelar Ustaz Meor Aziz, rupanya-rupanya hanya meneruskan kebiasaan kaum Nabi Lut. Anak seorang guru agama yang disegani di taman perumahan ini adalah tergolong dalam golongan yang dilaknat tuhan. Tak cukup besarkah kesalahan itu? Aku berasa lemah seluruh badan. Aku jadi buntu. Aku terjatuh duduk berteleku di hadapan pagar besi itu.

“Allah…” keluhku. Berat benar dugaan untukku ini. Perlahan, barang-barang yang dicampak bertaburan oleh ayahku tadi aku kutip. Aku masukkan ke dalam beg. Aku berdiri tegak memandang syurgaku ini buat kali terakhir. Entah apa yang bakal terjadi pada hidup aku nanti, Allah sahaja yang tahu. Sedih, pedih, luluh hatiku aku rasakan. Aku Tarik nafas dalam cuba meraih semangat yang tersisa. Aku berpaling dan mula melangkah pergi meninggalkan rumah itu. Masih sayup terdengar suara ibuku terisak-isak.

‘Umi….maafkan Adik….adik tak mampu jadi anak yang Umi dan Abi harapkan’ ucap hatiku sayu. Aku membiarkan kakiku melangkah sendiri. Aku sendiri buntu. Fikiranku kusut. Macam-macam yang aku fikirkan.

Hampir setengah jam aku duduk diam di pondok bas di tepi jalan besar ini. Jam menunjukan hampir jam satu pagi. Cadangku, aku mahu terus pulang ke rumah sewaku di Pulau Pinang, tempatku menuntut ilmu di menara gading. Namun, perkhidmatan bas hanya akan ada paling kurang Sembilan ke sepuluh jam lagi. Tapi dimana pula mahu aku dapatkan duit untuk tambang? Duit pinjaman pelajaranku hanya akan masuk dalam satu atau dua minggu lagi. Wang tunai yang aku punya kini tidak lebih dari RM30 sahaja.

‘Allahu Rabbi…’ keluhku sebelum aku meraup wajahku. Berkat menyebut nama tuhan, aku teringat tentang Hazrin. Rakanku, yang juga kawan karibku, yang juga teman serumahku di Pulau Pianang. Aku mengeluarkan telefon bimbitku. Nombor telefon Hazrin ku cari. Namun aku rasa ragu-ragu untuk mendail. Patutkah aku ganggu dia lewat malam begini? Mungkin esok sahaja aku telefon. Namun, belum sempat aku membuat keputusan, telefonku berdering. Nama Hazrin tertera pada Skrin. Lama juga aku biarkan telefon berdering sebelum ku angkat.

“Hello….Muaz” kedengaran suara Hazrin dihujung talian.

“ye…” jawabku sedikit teragak-agak. Dalam hatiku agak terkejut, namun agak bersyukur Hazrin menelefonku.

“wei…kau dah tidur ke?..kata nak main Dota…aku tunggu kot dari tadi.” soal Hazrin

“ehm…”aku termati kata, tak tahu apa patutku jawab.

“Dah tidur ke?” soal Hazrin lagi.

“Belum..” jawabku. Seketika, tiada antara kami yang berkata-kata.

“Muaz…kau okay ke?” soal Hazrin seakan mampu meneka ada yang tidak kena. Aku diam tidak menjawab.

“Muaz…” panggil Hazrin lagi. Entah kenapa aku jadi segan untuk meminta tolong darinya.

“Meor Muhammad Muaz…kau okay tak ni?” soal Hazrin lagi. Aku melepaskan keluhan berat.

“Ren..kau….tolong aku Ren.” ujarku dalam terpaksa.


Hazrin membuka pintu biliknya dan mempelawa aku masuk. Perlahan aku melangkah masuk ke ruang bilik yang hampir sama saiz dengan bilik ku.

“Kau duduk dulu ye.” ujar Hazrin sebelum dia keluar dari bilik tersebut. Aku meletakan punggung di atas katil sebelum memerhati sekeliling. Bilik ini bukan asing bagiku. Sudah kerap kali aku kesini dan tidur di katil ini. Cuma malam ini, ianya rasa berbeza. Belum sempat aku mengelamun jauh Hazrin kembali semula sambil membawa segelas air sejuk. Gelas kaca itu dihulurkan padaku sebelum dia duduk disebelahku. Aku meneguk air sejuk itu. Lega sedikit dahaga yang ku rasa. Aku perasan yang Hazrin dari tadi memerhatiku tanpa bersuara sedikit pun. Aku jadi serba salah.

“Ren….” panggilku. Hazrin hanya diam.

“Aku….aku nak minting tolong, bagi aku tumpang tidur malam ni kat sini. Malam ni je…aku janji.” ujarku bersungguh.

“Lepastu….aku…aku nak pinjam duit sikit. Aku nak beli tiket. Aku nak balik Pulau Pinang.” Hazrin hanya diam sambil tepat memerhatiku. Aku lantas dihambat rasa kurang senang, malu, takut. Aku hanya tertunduk bagai seorang pesalah.

“Apa yang dah jadi sebenarnya?” soal Hazrin selepas sekian lama. Aku hanya berdiam. Soal Hazrin itu aku hanya biarkan tidak berjawab. Hazrin melepaskan keluhan berat sebelum dia berdiri dan berjalan menuju ke almari pakaiannya. Seketika kemudian dia kembali dan menyerahkan kepadaku sehelai tuala bersih. Aku melihat tuala itu sebelum memandang wajahnya.

“Kau pergi mandi dulu, lepas tu kita tidur. Dah lewat sangat dah ni.” ujar Hazrin sambil tersenyum ikhlas. Aku mengambil tuala yang diberikan oleh Hazrin itu. Aku lantas meletakan beg ku ke lantai dan berdiri untuk menuju ke bilik air. Hazrin ku lihat mula mengemas biliknya yang sedikit berselerak bagi memberi ruang untukku tidur.

Aku ralit memandang kipas syiling yang berpusing perlahan. Aku langsung tak boleh tidur. Mindaku seakan tak membenarkan aku tidur malam ni. Sesekali aku melirik melihat hazrin yang baring dikatilnya. Aku lihat dia juga gelisah. Sekejap-sekejap bertukar posisi.

“Ren..” panggilku.

“hmm…”

“Tak tidur lagi?” soalku lagi.

“Belum..” jawabnya. Aku hanya tersenyum hambar sebelum pandanganku kembali diarah pada kipas syiling bilik bujang Hazrin ini. Entah kenapa, tiba-tiba Hazrin bangun dan duduk di birai katil. Aku yang terbaring di lantai menoleh memandangnya.

“Aku tak boleh tidur.” ujarnya. Dia lantas bangun dan duduk berteleku disebelahku. Walaupun keadaan sekeliling gelap, tapi aku tahu dia memandangku tepat.

“Kau dah kenapa Ren?” soalku sedikit tidak selesa.

“Sebab kau la ni….”

“Aku pulak?” ujarku membalas sambil bangun dan duduk disebelahnya.

“Aku tak boleh tidur….sebab aku terfikir pasal kau.” ujarnya lagi. Aku hanya tertunduk dan tersenyum hambar.

“Selagi kau tak cerita kat aku apa yang jadi….selagi tu aku tak boleh tidur.” Aku memandang wajah Hazrin. Walau dalam gelap begini, aku masih boleh nampak dengan jelas wajah tampan kawan karibku ini.

Aku melepaskan keluhan berat. Hazrin masih memandangku. Dia tidak memaksa, namun penuh mengharap.

“Aku sebenarnya….kena…halau”

“Halau?!” Hazrin sedikit terkejut. Aku mengangguk sedikit.

“Halau dari rumah?...siapa halau?” soal Hazrin serius.

“Abi aku….”

“Abi kau? Ustaz Meor?..kenapa?” soal Hazrin lagi yang mula terlihat risau. Sekali lagi aku melepaskan keluhan berat.

“seriously?...Ustaz Meor halau kau? kenapa?” sola Hazrin lagi seakan tak percaya. Memang sukar untuk dipercayai. Ustaz Meor, yang terkenal sebagai seorang Ustaz yang baik hati menghalau anak kandungnya sendiri dari rumah.

“Like…seriously??...apa yang kau buat sebenarnya sampai kena halau ni?” ujar Hazrin lagi. Macam nak tergelak pun ada bila aku tengok riaksinya itu.

“Apa yang kau buat ni sebenarnya?” soalnya lagi memujuk. Aku memandang wajahnya tepat.

“Aku dah buat kesalahan yang sangat besar sampai Ustaz Meor yang baik tu boleh halau aku keluar dari rumah.” ujarku sebagai jawapan pada soalan Hazrin tadi.

“yelah….apa salah yang kau dah buat tu? Aku macam tak boleh percaya yang Ustaz Meor boleh halau anak lelaki tunggal kesayangan dia.” ujar Hazrin tidak percaya. Aku tertunduk lesu. Memang besar kesalahnku ini. Sangat besar. Hazrin melepaskan keluhan sebelum mengambil kedua belah tangaku dan digenggam erat. Aku lantas memandang wajahnya.

“Cerita kat aku, apa yang kau dah buat.” Hazrin memujuk. Aku mengalih pandang darinya sebelum menghembuskan satu keluhan berat. Apa patut aku buat ni? patut ke aku cerita semua pada Hazrin. Cerita pada dia yang aku ni tak normal. Yang aku ni songsang. Yang aku ni suka lelaki. Patut ke?

“Kau tahu kan..kau boleh percaya aku.” ujar Hazrin lagi memujuk. Aku memandangnya sekilas seblum kembali tertunduk. Mungkin inilah masanya untuk aku menceritakan segalanya pada Hazrin. Aku sendiri sebenarnya sudah tidak sanggup untuk menanggung sendiri.

“Ren….” panggilku perlahan. Hazrin hanya mendengar.

“Kita…tak pernah ada rahsiakan?” soalku memulakan cerita.

“ya…”



Bersambung....

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hi Guys....

Ok tak chapter ni...
rajin-rajinkanlah diri untuk komen ye...hehehhe
~
Komen korang amatlah aku hargai....hehehhe....





5 comments:

  1. Annas ko jahat.. buat cerita suspen mcm ni

    ReplyDelete
  2. Huh.saspennye cite nih.cpt2 wat sambungan.

    ReplyDelete
  3. Reaction ibu bapa bila dapat tahu benda macam ni memang menakutkan.
    Makes you wonder almost everyday what if they were ever to find out..

    ReplyDelete